Label

DUA KALI JALANI PROSEDUR CUCIAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 34 tahun dan belum dikurniakan cahaya mata. Saya berkahwin pada usia 33 tahun dan hamil pada usia yang sama. Setelah kandungan saya berusia lapan minggu saya sering mengalami sakit di perut dan turun darah pada usia kandungan 11 minggu. Doktor mengambil keputusan supaya saya menjalani prosedur cucian D&C. Saya berpantang dan berurut.

Selepas tiga bulan keguguran, saya disahkan hamil lagi dan pada usia kandungan lapan minggu ke atas kesakitan yang sama berulang lagi. Saya mempunyai keputihan tetapi doktor menyatakan ia bukannya serius, cuma keputihan biasa saja dan apabila dilakukan imbasan, doktor menyatakan janin tidak membesar pada usia kehamilan 12 minggu.

Setiap kali sakit perut, saya ke klinik dan sehingga usia kandungan saya berusia 14 minggu, saya mengalami masalah sama iaitu turun darah. Doktor menasihatkan supaya saya menjalani prosedur cucian kerana takut ada jangkitan kuman. Selepas sebulan keguguran, saya ke klinik swasta untuk mendapatkan nasihat doktor dan ubat-ubatan. Doktor menjalankan ujian air kencing dan mendapati ada jangkitan kuman dan menyatakan masalah hormon.

Doktor membekalkan ubat yang berkaitan dan doktor nasihatkan supaya saya mengambil ubat untuk hamil dan mengambil ubat tahan gugur sekiranya hamil kali ini. Saya juga berurut dengan bidan dan dia menyatakan kedudukan rahim ke tepi.

Saya bimbang dan hampir setahun memendam rasa takut untuk hamil. Adakah keguguran saya ini disebabkan masalah rahim tidak kuat, jangkitan kuman berlaku sewaktu kehamilan atau masalah hormon? Apakah yang patut saya lakukan memandangkan usia saya sudah lewat?

Apakah saya perlu menunggu setahun lagi supaya rahim saya betul-betul kuat?

Adakah saya perlu mengambil suplemen lain seperti Biodex atau jus Mona Vie?

Ijan,
Terengganu

JAWAPAN


SAYA musykil dengan keadaan kehamilan anda, apakah benar anda hamil? Pada usia kehamilan lapan minggu, janin dapat dikesan dengan jelas menggunakan imbasan ultrabunyi malah degupan jantungnya juga dapat didengar menggunakan teknik Doppler (jika ada) pada mesin ultrabunyi terbabit.

Anda juga tidak memberikan maklumat lanjut mengenai pemantauan pada kandungan sejak lapan minggu sehingga hari anda turun darah (11 minggu dalam ‘kehamilan’ pertama dan 14 minggu dalam ‘kehamilan’ kedua). Apabila doktor mengesyaki kandungan mengalami kematian di dalam (secara imbasan ultrabunyi), kepastian akan dibuat sama ada:

- Mendapatkan pengesahan daripada doktor yang lain.

- Memeriksa sekali lagi setelah beberapa hari (perkembangan atau saiz janin serta degupan jantungnya).

- Melakukan ujian darah hormon fl-hCG yang dilakukan berturutan hari atau selang sehari. Paras yang meningkat memberi petanda kandungan masih ‘hidup’ manakala paras yang menurun memberi petanda kandungan sudah tiada.

Sekiranya anda disahkan mengalami keguguran (kandungan tidak membesar), doktor memberi pilihan sama ada untuk menunggu ia keluar sendiri atau menjalani prosedur cuci (D&C).

Pilihan pertama memerlukan pemantauan ujian darah untuk mengesan risiko jangkitan kuman dan masalah pembekuan darah, anda tidak menyatakan sama ada anda menjalani ujian ini. Selepas ‘keguguran’ kedua, doktor anda mungkin ada menghantar isi kandungan yang dicuci itu untuk pengesahan makmal. Hasil keputusan histologi ini (singkatan HPE) mungkin sudah diberikan kepada anda.

Setelah dua kali ‘keguguran’ berturut-turut, kebanyakan doktor mula menjalankan beberapa ujian saringan penyakit walaupun ada yang menunggu sehingga tiga kali berturut-turut. Keadaan keguguran berturut-turut tiga kali ini dinamakan keguguran berulang.

Saya memilih untuk tidak menjawab soalan mengenai suplemen yang tidak berasaskan kajian klinikal secara statistik. Suplemen yang dilaporkan meningkatkan kesuburan adalah multivitamin yang boleh didapati di hampir semua farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor.

Pun begitu, anda hendaklah memastikan kandungannya kerana berlebihan vitamin tertentu juga boleh ‘mencacatkan’ janin dan memberi kesan kepada hati anda.

Produk yang dikatakan membuahkan kehamilan kembar tidak mustahil mengandungi bahan seperti yang terdapat dalam pil kesuburan. Ini kerana kita hanya mengeluarkan satu telur saja dalam setiap kitaran kecuali segelintir wanita yang lazimnya lebih berusia yang boleh mengalami kehamilan kembar (satu di dalam 80 atau 1.25 peratus saja).

Memandangkan pil kesuburan dilaporkan ada kaitan dengan kanser ovari, penggunaannya penting dihadkan dos dan bilangan kitarannya seperti yang ada dalam garis panduan beberapa persatuan perubatan antarabangsa.

Kita perlu tahu dengan terperinci mengenai jenis makanan, ubat atau produk yang kita ambil. Ini bagi memelihara daripada kesan sampingan yang mungkin hanya dikesan atau ditanggung apabila lebih berusia kelak.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan