Soalan
MASALAH saya ini berlarutan sejak dua tahun lalu. Saya kini berumur 17 tahun dan mula datang haid pada umur 13 tahun. Ketika berumur 13 dan 14 tahun, kitaran haid saya teratur, tetapi pada umur 15 tahun, kitaran haid saya tidak teratur hingga berbulan-bulan saya tidak didatangi haid.
Paling lama lapan bulan saya tidak datang haid. Saya kemudian berjumpa pakar sakit puan yang memberikan pil untuk mengembalikan kitaran haid. Sebelum mengambil ubat itu, berat saya hanya 52 kilogram (kg) dan tinggi 162 sentimeter.
Selepas pengambilan ubat itu, berat saya naik mendadak sehingga lebih 65kg manakala selera makan pun bertambah. Selepas pengambilan ubat itu juga, saya didatangi haid kira-kira seminggu, namun haid tidak muncul semula.
Saya berjumpa doktor semula untuk pemeriksaan dan dimaklumkan, saya tiada masalah dan ia mungkin disebabkan stres. Doktor juga memberitahu, pil itu memang menggemukkan, tetapi baik untuk kulit muka yang cantik.
Imbasan doktor juga menunjukkan tiada masalah pada rahim saya. Haid saya ada, tetapi tidak boleh turun. Alhamdulillah saya tak pernah senggugut selepas makan pil yang diberikan doktor cuma selepas berhenti makan pil itu, kitaran haid saya tidak teratur sehingga sekarang.
Sudah lama saya tidak berjumpa doktor kerana saya tahu dia akan memberikan saya ubat sama. Saya pula bimbang berat saya naik semula. Sekarang saya tidak didatangi haid selama empat bulan.
Saya berharap doktor dapat memberi pandangan mengenai masalah saya ini juga saranan untuk saya menjalani sebarang rawatan.
Syaz,
Kuala Lumpur
Jawapan
ANDA mungkin mengalami masalah kekurangan hormon progesteron dan mungkin juga estrogen. Itu sebabnya pengambilan pil terbabit (yang mengandungi kedua-dua hormon itu) menjadikan seolah-olah kitaran haid anda teratur.
Pil itu tidak menyembuhkan punca sebenar. Apabila anda menghentikan pengambilannya, paras hormon terbabit di dalam darah anda menjadi rendah semula.
Ada pilihan ubat lain yang hanya menggantikan hormon progesteron anda, ini kurang memberikan kesan sampingan berbanding sekiranya anda mengambil ubat yang mengandungi hormon estrogen dan progesteron, tetapi pendarahan haid tidak sebanyak biasa kerana ia bergantung kepada estrogen anda sendiri.
Apakah punca sebenar masalah kekurangan hormon anda yang diberitahu oleh doktor? Adakah ia disebabkan gangguan atau ketiadaan ovulasi (pengeluaran telur)?
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan