PCOS boleh menyebabkan kemandulan, obesiti, gangguan metabolisme gula dan kolesterol |
"BIASALAH. Awal-awal datang haid memang ada yang tidak dapat kitaran yang tepat kerana kitaran masih belum teratur," kata-kata yang sering didengari oleh remaja yang baru kedatangan haid.
Dua hingga tiga bulan sekali kitaran haid tiba dianggap perkara biasa membuatkan seseorang itu tidak merujuk dengan doktor untuk melakukan ujian.
Kerana tanggapan sebegitu, ramai yang membiarkan sahaja masalah kitaran haid tidak teratur sehingga dewasa kerana merasakan ia perkara biasa dan akan normal sendiri satu hari nanti.
Hakikatnya, ia merupakan antara tanda klasik seseorang wanita itu mengalami gangguan hormon yang serius pada seseorang wanita iaitu Sindrom Ovari Polisistik (Polycystic Ovarian Syndrome - PCOS) disertai dengan beberapa simptom lain.
Juga dikenali sebagai sindrom Stein-Levanthal, penyakit ini disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon di dalam badan, yang mana terdapat berlebihan hormon lelaki dan insulin di dalam badan pesakit.
Ujar Pakar Kesuburan, Pusat Kesuburan Kuala Lumpur, Dr. Natasha Ain Mohd. Nor, PCOS tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan saja akan mengganggu kesuburan kerana jarang berlakunya ovulasi akibat ketiadaan haid, malah ia akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain yang serius.
PCOS boleh menyebabkan kemandulan, obesiti, gangguan metabolisme gula dan kolesterol. Kira-kira 10 hingga 20 peratus pesakit PCOS akan menghidapi penyakit kencing manis terutamanya pesakit yang mempunyai sejarah keluarga kencing manis atau gemuk.
"Dalam keadaan yang lebih teruk, PCOS boleh menyebabkan seseorang pesakit berisiko mengalami masalah kolesterol tinggi, darah tinggi, sakit jantung terutamanya sekiranya anda menghidapi kencing manis dan darah tinggi malah kanser rahim terutamanya pesakit yang sering tiada haid," tegas Dr. Natasha.
Dianggarkan lima hingga 10 peratus wanita yang berada dalam umur reproduktif mengalami masalah ini.
Para doktor masih tidak dapat memastikan apakah punca sebenar PCOS ini tetapi mungkin penyakit ini ada kaitan dengan genetik.
Terangnya, PCOS tidak boleh disembuhkan, hanya rawatan bagi mengawal simptom-simptomnya daripada menjadi semakin parah serta rawatan untuk mereka yang mahu hamil.
Diagnosis di peringkat awal adalah digalakkan supaya dapat mengawal masalah-masalah lain yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon ini.
(Sumber Utusan Malaysia)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan