Label

CARA MERAWAT PENYAKIT TIROID (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA pernah mendengar tentang penyakit tiroid lebih kerap menyerang wanita berbanding lelaki. Baru-baru ini kakak ipar saya disahkan menghidap penyakit ini semasa hamil. Dr, apakah yang menyebabkan ibu hamil berisiko menghidap penyakit ini dan apakah rawatannya. Mohon Dr menjelaskan lebih lanjut mengenainya.

Su,
Johor

JAWAPAN

PENYAKIT tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Bagaimanapun penyakit ini selamat serta mudah dirawat jika diagnosis dan rawatan pada peringkat awal dilakukan.

Kelenjar tiroid

Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon ini mengawal metabolisme (pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama berat badan, kemurungan dan tahap tenaga.

Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila aras hormon tiroid tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain seperti diabetes mellitus juga boleh mengganggu pengeluaran hormon tiroid.

Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga simptom tertentu yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Ada dua jenis penyakit tiroid iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki. Empat nisbah satu penyakit tiroid menyerang wanita berusia 20 tahun ke atas kerana sebab dan alasan yang tidak diketahui hingga kini.

Penyakit hipotiroidisme


Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehingga hormon tidak dikeluarkan secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisme.

Lazimnya, penyakit hipotiroidisme disebabkan keradangan pada kelenjar tersebut, yang dipanggil tiroiditis. Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun yang merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid. Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja lebih kuat. Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil goiter. Akhirnya, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Simptom hipotiroidisme adalah bengkak kaki, ingatan terganggu, lembap, malas, kuat tidur, badan sering terasa sejuk dan boleh mengakibatkan masalah jantung jika tidak segera dirawat. Pesakit yang mengalami penyakit ini mudah dirawat, tetapi terpaksa mengambil hormon tiroksin seumur hidup. Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala bergantung kepada aras hormon tiroid.

Hipertiroidisme

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon berlebihan. Biasanya ia disebabkan penyakit autoimun manakala badan manusia pula menghasilkan antibodi yang mampu merangsang kelenjar tiroid. Hipertiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroksin. Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar. Selain itu, ubat yang diambil untuk hipotiroidisme mungkin menyebabkan hipertiroidisme, jadi pengawasan doktor amat penting. Simptom hipertiroidisme adalah hilang berat badan, kerap buang air besar, berpeluh, berdebar-debar, menggeletar, penglihatan terjejas dan bertambah selera makan.

Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan debaran jantung mungkin perlu diberikan. Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan.

Penyakit tiroid semasa hamil


Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.

Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubat secara berkala di samping ujian darah dan ujian lain yang difikirkan perlu akan dilakukan.

Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit hamil. Ada sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil postpartum tiroiditis. Lazimnya aras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke normal dengan pantas. Namun, ada segelintir ibu mungkin mengalami hipotiroidisme pada masa hadapan. Perlu ditegaskan ujian pengesanan atau ujian darah hormon tiroid bukan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.

Sebenarnya, tiroid boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera, apatah lagi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan yang menyebabkan keguguran, kelahiran pra matang, janin kecil dan kecacatan mental. Kes ini biasanya di bawah pengawasan doktor pakar yang biasanya akan dipantau di 'combine clinic' iaitu doktor pakar perbidanan dan doktor pakar endokrin. Usah gusar, ia selamat dan mudah dirawat. Sama-sama juga saya doakan agar kakak ipar anda dan bayi yang dikandung selamat dilahirkan.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

MENYUSUKAN BAYI BANTU KURUSKAN BADAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

APAKAH cara yang terbaik menurunkan berat badan? Saya juga ingin bertanya, benarkah berat badan seorang ibu akan turun apabila menyusukan anak dan akan bertambah selepas berhenti menyusukan anak?

Nor,
Shah Alam

JAWAPAN

SOALAN
yang diutarakan amat praktikal sekali. Masalah berat badan ini amat sensitif dalam kalangan wanita. Saya tahu ramai wanita di luar sana yang mencuba pelbagai produk pelangsing yang ditawarkan dan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk masalah ini.

Sudah menjadi lumrah, sebagai wanita dan isteri, kita semua berharap agar dapat mengekalkan bentuk tubuh badan yang menarik untuk menambat hati suami. Yang kurus nak gemuk dan yang gemuk pula nak kurus. Bukan tidak puas dengan apa yang dikurniakan, tapi nak menjadi yang lebih baik. Tapi maklum sahajalah, bila dah bersalin sekali dua, berat badan susah nak turun. Tambahan pula, bila menyusukan anak sepenuhnya, bukan saja tak boleh mengambil ubat pelangsing sebarangan tetapi nak berdiet berlebihan pun kurang digalakkan kerana dikhuatiri menjejaskan pengeluaran susu atau membahayakan bayi.

Kesabaran

Menurunkan berat badan bagi ibu-ibu yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang mustahil, tetapi ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana, proses menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang diberi kepada bayi.

Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan berat badan bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang menyusukan anak lebih mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500 kalori setiap hari. Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga pemakanan.

Ada beberapa panduan yang mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan. Paling utama ibu tersebut perlu minum air secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya. Seelok-eloknya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga dinasihatkan untuk makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat pada wasiat Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang". Paling baik sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan kuantiti yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam masa sejam selepas bangun tidur.

Makanan yang dimakan juga perlu dikunyah secara perlahan-lahan. Paling baik sekali jika makanan tersebut dikunyah 44 kali untuk mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan menerima isyarat kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat, otak tidak sempat memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan percakapan semasa makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah terlebih makan.

Makanan yang diambil perlu seimbang. Kajian menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan disebabkan zat yang tidak mencukupi. Kekurangan protein akan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan enzim (enzim terbina daripada asid amino) yang mencukupi untuk mencernakan makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan kita rasa kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat penting dalam metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar dan berkumpul secara berlebihan.

Kesimpulannya, makanan yang diambil perlu seimbang. Kurangkan pengambilan gula dan makanan rapu. Gula membekalkan kalori yang tiada nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang diserang penyakit diabetes mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu makan sukar dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi (darah tinggi).

Aktiviti fizikal

Banyakkan aktiviti fizikal. Saya pasti ibu-ibu tidak mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti fizikal. Walaupun tidak dapat meluangkan masa ke gimnasium atau senamrobik, ibu-ibu akan sentiasa sibuk dengan tugasan harian. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 15 minit, dua kali seminggu adalah sangat digalakkan.

Bagaimanapun, bagi yang tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif seperti menggunakan jalan lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan, berjalan sambil menghayunkan tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti santai bersama anak-anak dan banyak menggunakan tangga daripada lif.

Puan juga hendaklah sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar kerana pengurangan berat badan ini adalah lebih kurang dua kilogram sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan penyusuan kerana ada banyak lagi keistimewaan yang anda akan kecapi.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BERSALIN TAMBAH RISIKO RAHIM JATUH (SAKIT PUAN)

UTERUS atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.

Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu, membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia melalui frasa yang cukup istimewa.

Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata, pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.

Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine).

"Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa perkara," kata Dr. Ixora.

Menurut beliau, otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada risiko mengalami rahim jatuh.

Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.

Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai yang malu untuk berjumpa doktor.

Walaubagaimanapun kata beliau, terdapat juga wanita muda yang mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis.

"Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis lemah," kata beliau.

Jelas Dr. Ixora, biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ prolapse (POP).

Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh / bonjolan rektum ke dalam faraj).

Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa) dan masalah pundi kencing terlalu aktif.

Kategori rahim jatuh:

>> Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.

Simptom-simptomnya:

>> Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj

>> Ketulan pada faraj

>> Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)

>> Sakit belakang

>> Sakit semasa hubungan seks

>> Pendarahan faraj selepas menopaus

>> Inkontinens kencing

>> Sukar buang air kecil / besar

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

RAWATAN SELEPAS BERSALIN (SAKIT PUAN)

AMALAN berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi juga merangkumi penjagaan tubuh badannya secara luaran dan dalaman.

Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan bekerja semula selepas berpantang.

Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.

Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.

Bagi wanita yang baru lepas bersalin, antara perkara yang ditekankan ialah urutan bagi menaikkan rahim atau di kalangan orang Melayu sebut sebagai sengkak rahim. Urutan ini dilakukan bagi menaikkan semula rahim yang kendur atau terjatuh semasa proses melahirkan anak.

Rawatan tradisional seperti sengkak rahim membantu mengecutkan otot-otot rahim dan menolak rahim masuk semula.

Ini dibantu dengan pemakanan yang betul seperti mengelakkan pengambilan makanan sejuk yang boleh menyebabkan urat kembang atau masuk angin.

Bertungku

Selain itu, amalan bertungku sering dipraktikkan semasa dalam pantang.

Ini kerana bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau 'simpan batu merian'.

Proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit.

Ia dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir dengan lancar selepas bertungku.

Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan.

Pada zaman moden ini, rawatan selepas bersalin ini bukan sahaja boleh dilakukan sendiri atau bidan di rumah, sebaliknya pusat kecantikan turut menyediakan rawatan tradisional untuk ibu bersalin seperti sauna, urutan dan tunku herba.

Di Tini Spa misalnya, menawarkan pakej rawatan bersalin di kedua-dua buah cawangan yang terletak di Ampang dan Shah Alam, Selangor.

Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan tubuh badan langsing, rawatan selepas bersalin ini sebenarnya penting untuk kesihatan luar dalam seorang ibu.

Selain amalan tersebut, si ibu juga turut diberikan jamu dengan ramuan-ramuan tersendiri bagi menguatkan lagi kesihatan dalaman seseorang wanita.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

CUBA RAWATAN KESUBURAN IUI (SAKIT PUAN)

SOALAN

SUDAH hampir lima tahun saya berkahwin dan masih tidak mempunyai zuriat. Saya dan suami sudah menjalani ujian kesuburan di salah sebuah hospital kerajaan.

Doktor pakar menyatakan kami subur tetapi hingga ke hari ini, saya masih tidak hamil. Doktor ada memberikan asid folik untuk tiga bulan.

Kadang-kadang saya rasa tidak sempurna menjadi seorang isteri kerana tidak mampu menjadi seorang ibu. Suami banyak membantu daripada sudut emosi dan memberi semangat kepada saya serta banyak bersabar dengan keadaan saya.

Daripada sudut pemakanan, saya tidak pernah berpantang makan termasuk buah-buahan, sayuran, nasi, roti dan susu. Ketinggian saya adalah 157 sentimeter dengan berat badan hanya 39 kilogram. Mungkin BMI saya tidak sesuai dan saya buntu mencari kaedah untuk menaikkan berat badan bagi mendapatkan zuriat.

Arnis,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

DENGAN ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah di antara 47 hingga 61 kilogram, anda dinasihatkan berjumpa pakar dietetik untuk mendapatkan nasihat pemakanan bagi meningkatkan berat badan anda.

Ia mungkin berkaitan dengan masalah kesuburan anda walaupun kebanyakannya juga mempunyai gangguan haid. Kurang berat badan boleh memberi masalah apabila anda hamil kelak, sama ada terhadap anda sendiri mahupun terhadap kandungan.

Secara ringkasnya, apabila doktor mengatakan kedua-dua anda dan suami subur, ini bermakna:

- Anda mempunyai struktur faraj, rahim, tiub fallopio dan ovari yang normal.

- Ovari anda juga menghasilkan telur (ovulasi) secara teratur pada setiap kitaran. Ia dapat dipantau menggunakan ultrabunyi yang dilakukan secara berturut ataupun menggunakan ujian darah hormon.

- Kedua-dua tiub fallopio anda normal. Lazimnya, ini diketahui setelah anda menjalani prosedur memasukkan cecair melalui pintu rahim (serviks) bagi menguji sama ada ia masuk melalui kedua-dua belah tiub fallopio. Ini dapat dibuktikan secara sinaran-x (HSG) ataupun pembedahan kecil (laparoskopi diagnostik) ataupun lebih jarang lagi secara ultrabunyi (Hycose).

- Ujian air mani suami juga normal iaitu dengan kepekatan sperma sebanyak sekurang-kurangnya 20 juta bagi setiap mililiter air mani. Peratus bilangan sperma yang bergerak ke hadapan juga sekurang-kurangnya 50 peratus manakala peratus bilangan sperma yang mempunyai bentuk atau ciri normal juga sekurang-kurangnya 30 peratus.

Jika demikian, anda boleh memilih untuk menjalani rawatan kesuburan secara permanian berhadas (IUI) kerana kajian membuktikan bagi pasangan yang diperiksa dan didapati tidak mempunyai masalah berkaitan, IUI dapat meningkatkan peluang kehamilan sebanyak tiga hingga empat kali ganda berbanding peluang asal anda setelah lima tahun berkahwin iaitu sebanyak dua hingga empat peratus sahaja.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme