Label

MAHU KURANGKAN SAKIT KETIKA BERSAMA (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 52 tahun dan sudah menopaus. Suami saya masih mempunyai keinginan seks tetapi selepas melakukan hubungan, saya rasa sakit kerana kurang air daripada pihak saya.

Adakah sebarang hormon atau cara yang boleh saya ambil bagi mengurangkan kesakitan selepas melakukan hubungan dengan suami?

Saya tidak mempunyai tanda sebarang penyakit seperti kencing manis, jantung atau darah tinggi cuma kadangkala, saya mengalami sakit tulang belakang saja.

MIISAH
Kuala Lumpur

SELEPAS mencapai menopaus, wanita beransur-ansur mengalami perubahan termasuk perubahan fizikal akibat kekurangan hormon estrogen yang ketara.

Antaranya ialah dinding faraj menjadi nipis (sehingga hanya satu pertiga daripada ketebalan asalnya) menyebabkan kesakitan apabila melakukan hubungan seks penetratif.

Mukus serviks juga tiada untuk membantu kelembapan dalam faraj. Ia hanya bergantung kepada pengeluaran cairan dari kelenjar Bartholin berhampiran bibir dalam pada faraj yang keluar sewaktu rangsangan seksual, itupun mungkin sementara dan berhenti apabila rangsangan seksual terhenti akibat kesakitan pada dinding faraj yang nipis itu.

Terdapat terapi hormon untuk membantu. Bagaimanapun, seperti mana-mana ubat, hormon ini juga mempunyai kesan sampingan tersendiri, ada antara kesan sampingan terbabit pula membahayakan kesihatan.

Anda hendaklah berjumpa pakar sakit puan terlebih dahulu untuk menjalani pemeriksaan dan ujian berkaitan sebelum disahkan sesuai mengambil terapi hormon ini.

Pada masa sama, eloklah juga anda mengamalkan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengesan penyakit lain. Lawatan ulangan juga penting untuk pemantauan ke atas kewujudan kesan sampingan terbabit.

Buat sementara itu, anda bolehlah menggunakan bahan pelincir untuk membantu.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PESAKIT ASD BERHAJAT UNTUK HAMIL (SAKIT PUAN)

SAYA pesakit ASD dengan Sindrom Eissenmenger. Doktor melarang saya hamil kerana berisiko tinggi. Jika ingin berkahwin, doktor akan memberi suntikan mencegah kehamilan kepada saya.

Saya ingin tahu, jika pada awal perkahwinan saya mengambil suntikan terbabit, bolehkah selepas setahun atau dua tahun kemudian saya berhenti kerana ingin mencuba untuk hamil?

Apakah kesannya kepada saya dan adakah saya berpeluang hamil?

Selain itu, jika saya hamil, adakah saya akan melahirkan anak secara normal, vakum atau pembedahan?

Doktor pernah memberitahu sebarang bentuk pembedahan, luka atau apa saja yang membabitkan pendarahan adalah berisiko untuk saya.

Untuk pengetahuan doktor, saya pernah berkenalan dengan beberapa pesakit seperti saya dan mereka berjaya melahirkan anak walaupun pada awalnya dilarang doktor. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

SAYA INGIN TAHU
Kulim, Kedah

SAYA pasti anda sudah mengumpul banyak maklumat mengenai ASD dan Sindrom Eisenmenger, tetapi mungkin belum faham mengenai situasi sebenar keadaan anda apabila bertanyakan soalan sedemikian.

ASD dengan Sindrom Eisenmenger adalah gabungan penyakit jantung yang gerun dihadapi mana-mana doktor termasuk doktor perbidanan. Doktor anda mempunyai alasan yang kuat apabila menasihati anda untuk tidak hamil.

Berdasarkan laporan kajian doktor merawat pesakit terdahulu yang memilih keputusan untuk hamil, 30 hingga 50 peratus daripada mereka berakhir dengan kematian ibu hamil itu sendiri. Ini adalah angka yang sangat tinggi dalam dunia perbidanan di Malaysia yang mengekalkan rekod kadar kematian ibu hamil serendah 0.3 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

Kehamilan pula secara amnya membabitkan beberapa perubahan termasuk peningkatan isi padu darah, jumlah darah di pam dari jantung, rintangan dalam salur darah dan seumpamanya.

Seseorang yang mempunyai ASD saja atau sudah menjalani pembedahan menutupnya mungkin dapat menerima perubahan fisiologi kehamilan di atas.

Namun, bagi mereka yang mempunyai ASD dengan Sindrom Eisenmenger, ia akan menambah teruk keadaan kekurangan darah beroksigen dan keadaan hipertensi pulmonari mereka.

Tidak timbul persoalan mengenai bila seseorang boleh hamil. Persoalan sebenarnya adalah sama ada seseorang itu selamat untuk hamil sehingga melahirkan dan kekal sihat sepanjang melahirkan.

Anda dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor pakar jantung anda dan doktor pakar perbidanan di hospital yang sama. Anda lebih berhak membuat keputusan mengenai diri anda, tetapi biarlah setelah mendapat penjelasan dan pemahaman penuh mengenai situasi anda.

Ultrabunyi akan dilakukan sekitar minggu ke-20 kehamilan bagi mengetahui keadaan jantung janin kerana ASD adalah penyakit jantung kongenital.

Risiko janin dikandung mengalami keabnormalan jantung kongenital meningkat lima hingga 10 kali ganda berbanding ibu hamil yang tidak mempunyai keabnormalan jantung.

Memandangkan kehamilan secara amnya meningkatkan risiko pembekuan darah di dalam salur vena atau trombosis vena (DVT) dan embolisma pulmonari, anda mungkin akan diberikan suntikan heparin bermolekul rendah (LMWH) untuk membantu mencegah pembentukan ketulan darah.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

IKUTI PROSEDUR D&C ELAK PENDARAHAN (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 24 tahun dan pada 6 November 2010, saya keguguran semasa usia kandungan sembilan minggu.

Saya keguguran di rumah selepas pulang dari hospital kerana turun darah yang banyak tetapi doktor tidak melakukan cucian D&C pada saya. Adakah ia menyebabkan saya tidak boleh hamil? Adakah saya perlu bertemu pakar sakit puan untuk melakukan pemeriksaan lanjut?

SU
Shah Alam, Selangor

D&C adalah prosedur pembedahan untuk mengeluarkan sisa kandungan. Sekiranya kandungan sudah habis keluar, D&C tidak perlu dilakukan.

Saya kurang jelas mengenai turutan kejadian yang anda alami itu, adakah anda:

(1) Dimasukkan ke hospital kerana mengalami sedikit pendarahan dan didiagnosa 'ancaman keguguran' kemudian pulang ke rumah setelah pendarahan berhenti tetapi di rumah pendarahan banyak berlaku akibat keguguran dan setibanya di hospital doktor mengesahkan anda tidak perlu menjalani D&C; atau

(2) Sudah disahkan keguguran sewaktu kemasukan ke hospital tetapi tidak perlu menjalani D&C dan kemudiannya anda pulang ke rumah tetapi mengalami pendarahan banyak?

Pilihan pertama adalah turutan kejadian yang lebih logik.

Beberapa petanda keguguran sudah berlaku dengan lengkap tanpa memerlukan D&C:

Keluar ketulan daging (pada usia kandungan sembilan minggu) disertai pendarahan banyak tetapi kemudiannya pendarahan menjadi semakin sedikit.

Pemeriksaan dalaman oleh doktor mendapati pintu rahim sudah mengecil atau menutup

Ultrabunyi mendapati ruang dalaman rahim sudah 'kosong'.

Mendesak doktor untuk melakukan D&C walaupun sebenarnya kandungan sudah habis keluar boleh memudaratkan. Istilah 'cuci' D&C sering disalah faham sebagai prosedur ringan secara membersihkan rahim menggunakan air sahaja.

Prosedur mengikis menggunakan alat 'curette' boleh menghakis lapisan otot rahim pula (kerana lapisan desidua sudah habis keluar) dan menyebabkan masalah kesuburan atau haid. Sindrom Asherman sering dikaitkan dengan prosedur D&C ini.

Selain itu, terdapat risiko lain seperti risiko pembiusan, jangkitan kuman, pendarahan, tusukan alat menembusi keseluruhan dinding rahim dan mencederakan usus, trauma pintu rahim dan seumpamanya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BAHAYA GUNA 'PENGGALAK' SUSU (SAKIT PUAN)

ADAKAH wanita yang tidak hamil boleh mengeluarkan susu badan? Saya ada terbaca beberapa artikel di Internet mengenai penyusuan anak angkat oleh ibu angkat yang tidak pernah mengalami proses kehamilan.

Dengan kata lain, payudara mengeluarkan susu badan untuk menyusukan anak angkat. Adakah sebarang jenis pil yang boleh membantu payudara mengeluarkan susu badan atau cara untuk mengeluarkan susu badan tanpa berlaku kehamilan?

NURUL
Kuala Lumpur

PENGHASILAN susu badan dirangsang oleh hormon prolaktin. Terdapat ubatan yang mempunyai sifat antidopamin yang bertindak merangsang penghasilan hormon prolaktin ini.

Bagaimanapun, anda harus faham bahawa ubatan ini sebenarnya tidak didaftarkan untuk kegunaan menghasilkan susu badan. Cuma secara kebetulan apabila ubatan ini digunakan untuk dalam rawatan masalah pengosongan usus, ia didapati memberikan kesan sampingan pengeluaran susu badan, maka ia digunakan untuk membantu merangsang penghasilan susu di kalangan wanita yang mengambil anak angkat.

Namun, ia juga mempunyai kesan sampingan tersendiri, membahayakan dan ada antaranya berupa perubahan kawalan otot badan yang boleh bersifat kekal. Maka anda dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan doktor anda terlebih dahulu.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

LABIA MINORA TERLEBIH PANJANG (SAKIT PUAN)

SAYA berumur 25 tahun dan akan berkahwin hujung tahun ini. Saya mempunyai masalah labia minora yang agak panjang.

Adakah masalah saya ini boleh mendatangkan masalah apabila saya berkahwin kelak? Saya sendiri tidak tahu panjang labia minora yang baik dan tidak cacat. Adakah labia minora saya tidak normal?

MINA
Petaling Jaya, Selangor

JIKA labia minora anda berkeadaan begitu sejak dahulu lagi, besar kemungkinan anda tidak mempunyai apa-apa masalah atau penyakit pada bahagian itu.

Fungsi labia minora untuk menutup pintu faraj, ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman ke dalam faraj. Tetapi jika ia terlalu panjang dan menyentuh bahagian berhampiran dubur, ia sebaliknya boleh mendorong jangkitan kuman ke bahagian kemaluan hadapan.

Sekiranya anda malu untuk mendapatkan pemeriksaan doktor sekarang, anda boleh menunggu sehingga selepas berkahwin, hamil atau bersalin kelak yang mana doktor boleh memeriksanya sewaktu melakukan pemeriksaan dalaman atau ujian Pap smear.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme